Friday, July 26, 2013

Dadih Sedap I

Bismillahirrahmanirahhim...


Assalamu'alaikum ya habibati,

Diam tak diam hari ini dah pun hari yang ke 17 kita semua berpuasa dalam tahun 1434 hijrah ini. Astaghfirullah... begitu cepatnya masa berlalu kan? Walaupun begitu, amatlah disarankan sekali untuk kita memanfaatkan setiap detik masa yang kita ada ini untuk berzikir, memohon ampun dan mendekatkan diri kepada ALlah Azzawajalla.

Bukanlah aktiviti 'ibadah itu dengan hanya duduk di atas sejadah, membaca Qur'an dan berwirid sahaja. Malah dalam setiap aktiviti harian kita yang diniatkan keranaNYA dan dimulakan dengan menyebut namaNYA adalah dikira 'ibadah. Sungguh mudah untuk kita semua mengumpul pahala kan? Namun, sudah tentu dalam bulan inilah kita seharusnya melipatgandakan ibadah  lantaran ganjaran pahala yang dijanjikan ALlah untuk kita. (Alhamdulillah kita dijadikan sebagai seorang muslim :).

Apatah lagi kita sebagai ibu yang menyediakan juadah dan hidangan berbuka, basahkanlah lisan kita sepanjang menyediakan hidangan untuk keluarga tercinta. Hasilnya adalah lebih berkat In Syaa ALlah dan ikatan kekeluargaan bertambah rapat. Sememangnya itu yang kita semua harapkan kan?

Ok, di kesempatan ini Shiela mahu berkongsi resipi dadih yang sedap lemak dan tak jemu-jemu disantap. Resipi ini Shiela dapat dari kakak ipar Shiela dan kurang pasti pula dia dapat dari mana. Jadi maafkanlah Shiela ya jika resipi asal ini ada terdapat di mana-mana blog tuan empunyanya.

Resipi ini memang sedap untuk buat makan sendiri atau pun jika nak dibuat berniaga. Cuma ianya melibatkan bahan yang agak banyak namun dari segi rasa, yang ini memang lebih ummpphh!! 

Jadi apa tunggu lagi, jom kita ke dapur!  

# Pesanan penaja : Sebelum beraksi di dapur, vogue kan diri kita dulu ya... (sedikit celak, bedak tipis, sedikit gincu dan bayangkan diri anda dalam sebuah rancangan masakan). Maka lebih bersemangat untuk menghasilkan hidangan terbaik dan jika Encik Suami balik sebentar lagi tidaklah kelam kabut masuk bilik nak berhias diri ;)) 


Dadih Sedap I

Air                                 7.75  liter
Susu segar                  1 liter  (1 kotak)
Susu tepung                3 senduk  (~ 100 gm)
Susu pekat manis       3 tin
Tepung jagung            2 tbsp
Gula                              7 tbsp
Garam                           2 sudu
Agar-agar                     45 gm (2 paket - dibasuh dan di tos)
Esen vanila                  4 tbsp 
Daun pandan
Pes perisa yang disukai


Cara membuat :

- Baca Bismillah dulu ya...
- Masak air terlebih dahulu dalam periuk yang besar (bancuh susu tepung dengan sedikit dari air panas ini juga)
- Bila air telah panas, masukkan agar-agar tadi.
- Setelah agar-agar hampir larut kesemuanya, masukkan gula, susu segar, susu pekat manis, bancuhan susu tepung, gula, garam, vanila dan tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air.
-  Kacau kesemuanya sebati hingga menggelegak.
- Bahagi bancuhan kepada beberapa perisa yang diinginkan.
- Tapis bancuhan sebelum di masukkan ke dalam bekas.
- Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam peti ais atau boleh saja terus di ngap, tiada masalah... ;))
-  Selamat menikmatinya!


Ini yang baru siap petang tadi.
Perisa jagung dan milo.


Beratur menunggu sejuk... :)

Ok, sudah cukup 4 perisa.
Jagung, milo, strawberi & pandan.

Haa dah siap di pek pun...
Sekejap lagi tunggu kawan
datang ambil, dia nak jual
di bazar ramadhan & juga untuk
tajaan berbuka puasa
anak-anak yatim :)


Tip membuat dadih :

- Satu adunan ini dapat dalam lebih kurang 53 bekas. 

- Harus sentiasa dikacau semasa dimasak bagi mengelakkan ianya berkerak di dasar periuk.

- Selamat mencuba!



Friday, July 5, 2013

Yoghurt Cupcakes

Assalamu'alaikum semua,

Di sini Shiela nak kongsi satu resipi cupcake yang selalu dibuat tiap kali diminta oleh anak-anak, untuk majlis hari jadi, sebagai buah tangan dan juga untuk merai tetamu. Cupcake ini memang sangat enak dan lemak rasanya, lembut serta gebu teksturnya (sampai setiap kali  orang merasanya mesti minta resipi... hehe)

Dalam membuat cupcake ini, Shiela tidak terlalu memberi penekanan tentang dekonya. Jika diminta oleh rakan-rakan atau pelanggan barulah ada hiasan minimal yang dihias di atasnya. Bukan apa, kebanyakan orang tidak suka makan krim hiasan walau secantik mana pun hiasan tersebut. Cuma kebanyakan, bukan semua (jangan marah Shiela ya... ;). 

Jadi apalagi, kalau nak merasa cupcake enak lembut gebu sampai makan banyak tak ingat berapa ketul dah, salinlah resipi di bawah ini ya ;)


YOGHURT CUPCAKES

Bahan-bahan :
250 gm  butter  (guna salted Anchor butter, lagi sedap)
200 gm  gula halus
5 biji       telur ayam (saiz sederhana, asingkan putih dan kuning telur)

240 gm   tepung naik sendiri 
50 ml      susu segar

7 tbsp     yoghurt (sebaiknya Nestle plain yoghurt)

Putih telur  (dipukul hingga kembang gebu)


Cara membuat :

- Mulakan dengan Bismillah ya...

- Sediakan butter pada suhu bilik. Pukul butter dan gula pada kelajuan tinggi selama 5 minit.

- Masukkan kuning telur satu persatu dan pukul pada kelajuan sederhana.

- Masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang dengan susu dan dipukul dengan kelajuan yang rendah.

- Masukkan yoghurt sedikit demi sedikit sehingga habis juga dengan kelajuan yang rendah.

- Akhir sekali, masukkan putih telur yang telah dipukul kembang. Gunakan senduk kayu dan   dikacau dalam arah yang sama melawan arah jam.

- Skup adunan sebanyak  ¾ paper cup.

- Bakar pada suhu 175°C sehingga masak.


Tengoklah tu... Gebunya!
menggunung naik

Kalau buat cupcake ni memang berbaloi,
seorang makan sampai 5 6 biji...!

Oh! Yang dah masak ini lagi
extra gebu.. huuu, sedapnyer!

Pandanglah lihatlah...
kegebuan saya

Mamma mia!
Time ni kena nyanyi lagu ABBA.. heheh

Merekah-rekah gitu kaannn...


Haa.. yang ini chocolate flavour,
pun sangat sedap!




Maka, harus ingat tip-tip membuat cupcake ini.

- Mesti guna tepung naik sendiri (Shiela dah cuba buat 'tepung naik sendiri' sendiri, tapi hasilnya kureng...!)

- Mesti asingkan putih dan kuning telurnya ya...

- Masukkan 7 sudu besar Nestle plain yoghurt (Shiela dah cuba yoghurt lain, hasilnya tidak segebu yang ini)

- Guna butter Anchor yang salted ya buk...

- Satu tips yang tidak pernah Shiela lupa semasa memasak ialah setiap kali memasukkan sesuatu, amalkanlah membaca selawat ke atas Baginda Rasululullah S.A.W serta beristigfar. SubhanALlah, masakan kita sangat sedap laa... menjadi laa... (bagi lenggok arab sikit) wa laziz jiddan! 

- Selamat mencuba!